FROM UTUSAN MALAYSIA
Perintah injunksi beku aset penganjur SwissCash
Oleh RAMLI ABDUL KARIM
KUALA LUMPUR 10 Julai – Suruhanjaya Sekuriti (SC) berjaya mendapatkan perintah injunksi antarabangsa untuk membekukan semua harta milik tiga orang penganjur skim cepat kaya Internet SwissCash di dalam dan di luar negara.
SC memperoleh injunksi antarabangsa mareva ke atas para pengendali skim tersebut hasil tindakan guaman sivil yang difailkan oleh suruhanjaya itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Jun lalu.
Injunksi itu melibatkan defendan-defendan Albert Lee Kee Sien, Kelvin Choo Mun Hoe dan Amir Hassan yang menguruskan Swiss Mutual Fund (1948) S. A., SMF International Limited dan SMF (1948) International Limited.
SC dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu, tindakan sivil itu merupakan susulan siasatannya ke atas skim SwissCash mengikut Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.
Dalam kenyataannya, suruhanjaya itu tidak menyatakan sama ada semua defendan berkenaan sedang ditahan atau masih bebas.
Jumlah aset defendan-defendan berkenaan serta nilai pelaburan orang ramai yang dikutip oleh skim SwissCash di Malaysia juga tidak didedahkan.
Bagaimanapun, menurut satu sumber, kegiatan SwissCash yang terbongkar 10 bulan lalu menjanjikan dividen 300 peratus selepas pelaburan selama 15 bulan.
Skim itu dikatakan telah menerima deposit antara RM380 juta dan RM3.8 bilion daripada kira-kira 100,000 pelabur Malaysia.
Injunksi mareva yang diperoleh SC pada 21 Jun lalu memberi kuasa kepada suruhanjaya itu untuk menyekat dan menghalang defendan-defendan daripada menyasarkan, mempelawa dan mengambil dana daripada orang ramai bagi pelaburan dalam SwissCash atau mana-mana skim pelaburan Internet.
“Injunksi mareva yang diperoleh daripada Mahkamah Tinggi mengkehendaki defendan-defendan memberi maklumat kepada SC berkaitan aset-aset mereka di dalam dan luar Malaysia dan juga syarikat-syarikat yang mereka tubuhkan serta akaun bank yang digunakan untuk operasi mereka,” menurut kenyataan SC.
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm